Ahmad Fauzan bin Yahaya
Bila syawal menjelma, rata-rata kalangan kita tidak ketinggalan untuk mengadakan ‘RUMAH TERBUKA’ bagi menjemput kaum keluarga, sahabat handai, jiran, rakan sekerja dan rakan dan taulan. Mungkin ramai di antara kita yang tertanya, dari manakah asalnya adat rumah terbuka ini? Kita pasti akan mengatakan bahawa amalan rumah terbuka ini merupakan amalan yang telah lama diperkenalkan dan diamalkan sejak turun temurun lagi. Untuk apa? Sudah semestinya niatnya adalah baik. Untuk memberi makan kepada insan dalam masa yang sama merapatkan ukhuwwah sesama insan.
Mengapa ianya timbul?
Adat rumah terbuka ini timbul kerana kepelbagaian budaya yang telah lama wujud di Malaysia. Secara sejarahnya, amalan rumah terbuka ini sebenarnya tidak dianjurkan secara khusus oleh Rasulullah SAW dan juga salaf soleh. Ini bukan bermaksud bahawa ianya dilarang dan tidak dibenarkan kita untuk menganjurkannya. Malah, sebagaimana yang kita tahu, bahawa terdapat kaedah usul-fiqh yang mengatakan bahawa “ asal hukum setiap sesuatu atau adat adalah harus, sehinggalah datangnya dalil mengharamkannya”.Ia berlainan dengan kaedah dalam bab Ibadah iaitu “asal hukum Ibadah itu adalah haram, sehinggalah ada dalil yang membenarkannya.” Ini antara kaedah yang masyhur dalam kita menilai sesuatu adat-adat yang rata-rata diamalkan di negara kita ini samada ia berketepatan dengan Sunnah ataupun tidak.
Jika ianya bercanggah, maka ianya harus ditentang dan disanggah dengan baik dan penuh berhikmah. Sebagai contoh, amalan menanam uri selepas bersalinnya isteri, wujud adat dan kepercayaan, digalakkan menyalakan lilin, meletak sesuatu objek atau benda ketika menanam uri dengan alasan si bayi tadi akan menjadi terang hati dan pandai, cerdik jika dinyalakan dgn lilin dan diletak dalam tanah pada uri yang ditanam itu buku, pensel dan sebagainya. Ini suatu kepercayaan yang tiada asas yang boleh mengundang syirik.
Adapun amalan rumah terbuka ini merupakan amalan atau adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Malah ia hanya merupakan istilah dan terminologi yang sinonim dengan masyarakat Melayu Islam kita di Malaysia. Malah amalan ini juga diamalkan oleh masyarakat Cina dan India dalam perayaan mereka. Rumah terbuka yang selalunya dipraktikkan di kalangan masyarakat Islam kita di Malaysia ialah lebih bersifat sebagai ‘semangat’ Hari Raya.
Jika diambil kira dari sudut ukhwah islamiyyah, semestinya rumah orang Islam hendaklah sentiasa ‘terbuka’ dan sedia menerima tetamu jika masa diizinkan. Kerana harus diingat, di dalam surah Al-Nur ayat 27, Allah mengingatkan kita agar meminta izin dari empunya tuan rumah sebelum masuk atau bertandang ke rumah mereka. Firman Allah: “Wahai orang orang yang beriman janganlah kamu masuk ke dalam sesebuah rumah yang bukan rumah kamu sehinggalah kamu meminta izin dan memberi salam ke atas ahli keluarga rumah tersebut yang demikian itu adalah lebih baik semoga kamu dapat mengambil peringatan.” (Surah Al-Nur: 27)
Jika ayat itu dihalusi dengan baik, maka dapatlah kita fahami, bahawa agama kita mempunyai suatu prinsip dan peraturan dalam bab ziarah dan berkunjung sesama kita. Oleh itu, rumah terbuka ini lebih bersifat suatu kesediaan tuan rumah dalam membuat persiapan dengan lebih rapi, dari segi bajetnya, tetamunya, makanannya dan pemilihan harinya dek kerana kesibukan bekerja dan keperluan tuan rumah juga untuk membahagikan masa ziarah beliau untuk berkunjung ke rumah yang lain.
Malah jelas, amalan memberi makan ini selari dengan firman-firman Allah dalam bersedekah dan memberi makan kepada orang lain. Di dalam surah Ali-Imran ayat 92: “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
Dan begitu juga dalam surah al-Isra’, Allah menyebut: “Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu membelanjakan (hartamu) secara boros.” ( al-Isra’: 26)
0 comments:
Post a Comment